Wednesday 30 May 2007

PRINSIP-PRINSIP IBADAH DALAM ISLAM

1. Ibadah tersebut telah ditetapkan oleh Allah yang tidak boleh diperbincangkan lagi kerana ia adalah sesuatu yang muktamad. Ini kerana ibadah tersebut datang dari Allah I iaitu sumber syariat iatu sendiri. Allah berfirman:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Oleh itu, (hendaklah Engkau Wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
(Surah Hud: 112)

Ibn Kathir rhm.a. berkata dalam mentafsirkan ayat ini:
Allah menyuruh Rasul-Nya s.a.w. dan para hamba-Nya yang beriman agar terus kekal dalam istiqamah. Ini kerana ia adalah bantuan besar yang boleh meyebabkan kemenangan terhadap musuh.
[1]

Ini bermakna, kita perlu kekal istiqamah dalam beribadah kepada Allah tanpa perlu mempersoalkan lagi apa yang disyariatkan oleh Allah. Syariat Allah adalah sesuatu yang muktamad dan wajib bagi kita berjalan di atasnya. Allah I berfirman lagi:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنَ الأمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ

Kesudahannya Kami jadikan engkau (Wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah syariat itu, dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui ( perkara yang benar).
(Surah al-Jathiyyah: 18)

Abd al-Rahman al-Sa’di menjelaskan tafsir ayat di atas:
Kemudian Kami mensyariatkan kepada kamu, satu syariat yang lengkap iaitu yang menyeru kepada kebaikan dan merang daripada segala kejahatan dalam semua urusan syarak. ( فَاتَّبِعْهَا ) Maka, sesiapa yang menuruti syariat ini akan mendapat kebahagian yang abadi, kesejahteraan dan kejayaan. ( وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ ) Sesiapa yang mengikut hawa nafsu mereka dan menurut tanpa ilmu dan menyanggahi syariat, maka mereka adalah golongan yang menyanggah syariat, kehendak dan keinginan Rasul s.a.w. Dan merekalah orang yang mengikut hawa nafsu dan tidak mengetahui perkara yang benar.
[2]

Allah berfirman:

قُلْ مَا كُنْتُ بِدْعًا مِنَ الرُّسُلِ وَمَا أَدْرِي مَا يُفْعَلُ بِي وَلا بِكُمْ إِنْ أَتَّبِعُ إِلا مَا يُوحَى إِلَيَّ وَمَا أَنَا إِلا نَذِيرٌ مُبِينٌ

Katakanlah lagi: "Bukanlah Aku seorang Rasul pembawa agama yang berlainan dari agama yang dibawa oleh Rasul-rasul yang telah lalu), dan Aku tidak mengetahui apa yang akan dilakukan kepada-Ku dan kepada kamu. Aku tidak melakukan sesuatu melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadaku, dan Aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata."
( Surah al-Ahqaf: 9)

al-Zahabi juga meriwayatkan dengan sanadnya sehingga sampai kepada Muhammad Ibn al-Qasim, beliau berkata;
Aku masuk bertemu dengan Ibn Aslam di Naisabur, iaitu empat hari sebelum kematian beliau, beliau telah menyebut satu wasiat yang panjang, antaranya):

“Asal bagi perkara yang difardhukan terdapat dalam dua huruf, iaitu apa-apa yang difirmankan oleh Allah I dan yang disabdakan oleh Rasul-Nya dengan sebutan. “Buatlah”; maka hendaklah melakukannya. Dan apa-apa yang difirmankan oleh Allah I dan yang disabdakan oleh Rasul-Nya dengan sebutan; “Jangan lakukan”; maka hendaklah ditinggalkan, dan meninggalkannya itu adalah fardhu.”
[3]

Sehubungan itu, setiap muslim perlu beribadah kepada Allah tanpa mempertikaikan arahan dan perintah tersebut. Ia adalah suatu yang muktamad daripada Allah sebagai kuasa yang mutlak dan tertinggi.

2. Ibadah itu mestilah khalish (bersih) hanya untuk Allah.

Ini bermaksud ibadah itu bersih dari syirik sama ada syirik besar atau kecil (riya’), mahupun syirik nyata dan yang tersembunyi. Allah berfirman:

فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

…oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".
(Surah al-Kahfi: 110)

Sehubungan itu, sesiapa yang melakukan syirik kepada Allah, ataupun menyertakan sesuatu bersama Allah dalam ibadahnya, maka ibadah tersebut akan terbatal dan tidak dinilai oleh Allah. Allah berfirman:

وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
... dan kalau mereka sekutukan Allah dengan sesuatu yang lain) pasti gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan dari amal-amal yang baik).
( al-An’aam: 88)

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ (٦٥) بَلِ اللَّهَ فَاعْبُدْ وَكُنْ مِنَ الشَّاكِرِينَ (٦٦


Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi. " Janganlah menyembah yang lain dari Allah bahkan apabila beribadat maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur."
(Surah al-Zumar: 65-66)

3. Hendaklah menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai contoh yang jelas dalam beribadah.

Allah berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).
( Surah al-Ahzab: 21)


وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.
(Surah al-Hasyr: 7)

Rasulullah bersabda:

حَدَّثَنَا إِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ وَعَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ جَمِيعًا عَنْ أَبِي عَامِرٍ قَالَ عَبْدٌ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ عَمْرٍو حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ جَعْفَرٍ الزُّهْرِيُّ عَنْ سَعْدِ بْنِ إِبْرَاهِيمَ قَالَ سَأَلْتُ الْقَاسِمَ بْنَ مُحَمَّدٍ عَنْ رَجُلٍ لَهُ ثَلَاثَةُ مَسَاكِنَ فَأَوْصَى بِثُلُثِ كُلِّ مَسْكَنٍ مِنْهَا قَالَ يُجْمَعُ ذَلِكَ كُلُّهُ فِي مَسْكَنٍ وَاحِدٍ ثُمَّ قَالَ أَخْبَرَتْنِي عَائِشَةُ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ


Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan (ibadah) yang tidak berasal daripada kami urusan agama kami), maka ia tertolak.
[4]

حَدَّثَنَا أَبُو جَعْفَرٍ مُحَمَّدُ بْنُ الصَّبَّاحِ وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَوْنٍ الْهِلَالِيُّ جَمِيعًا عَنْ إِبْرَاهِيمَ بْنِ سَعْدٍ قَالَ ابْنُ الصَّبَّاحِ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدِ بْنِ إِبْرَاهِيمَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ حَدَّثَنَا أَبِي عَنْ الْقَاسِمِ بْنِ مُحَمَّدٍ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
Sesiapa yang melakukan perkara baru dalam urusan kami urusan agama), yang ia tiada kaitan dengan agama, maka ia tertolak.
[5]

Berkaitan dengan hadith di ataas, Ibn Hajar al-Asqalani telah menjelaskan bahawa sesiapa yang mencipta sesuatu amalan dalam agama yang tidak mempunyai asal (dalil), maka hendaklah dijauhkan dari melakukan amalan tersebut. Sementara itu, Ibn Hajar juga menaqalkan keterangan dari al-Turqi bahawa hadith ini merupakan dasar utama dalam menentukan kesahihan atau kebatilan sesuatu hukum syarak.
[6]

Secara lafaznya, hadith ini menjelaskan bahawa semua amalan yang dilaksanakan dengan tidak menurut sebagaimana yang disyariatkan adalah tertolak sementara secara kefahamannya pula menunjukkan bahawa mana-mana amalan yang dilakukan menepati sebagaimana yang disyariatkan, maka ia adalah benar dan diterima Allah.

al-Qadhi al-Fudhail Ibn I’yadh, telah mentafsirkan ayat berikut;

لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا

untuk menguji keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya;
Beliau berkata; “Seikhlas-ikhlasnya dan sebenar-benarnya.” Kemudian dia ditanya, “Apakah maksud seikhlas-ikhlasnya dan sebenar-benarnya?” Jawabnya: “Sesungguhnya amalan-amalan yang ikhlas tanpa benar tidak diterima, dan sekiranya amalan itu benar dan tidak ikhlas juga tidak diterima, hinggalah mempunyai ikhlas dan benar barulah diterima). Ikhlas itu ialah diamalkan kerana Allah dan benar ialah mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w.”
[7]

Sementara itu, Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa sesiapa yang melakukan amalan yang tidak berlandaskan syarak, maka amalan tersebut adalah tidak diterima. Beliau juga menegaskan bahawa amalan seseorang itu mestilah berada di atas landasan hukum-hukum syarak, dan syarak itulah yang menjadi penentu ke atas amalannya sama ada yang berbentuk suruhan atapun larangan.
[8]

Lebih jelas, Rasulullah s.a.w. menegaskan beberapa hadith yang menjelaskan bahawa ibadah perlu diambil contohnya daripada Nabi sendiri. Rasulullah s.a.w.bersabda:

وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat.
[9]

خذوا عني مناسككم

Ambillah daripadaku ibadah haji kamu.
[10]

Contoh dari Nabi ini, tidak hanya diambil pada perkara ibadah yang besar sahaja. Malahan, ia meliputi adab-adab kehidupan yang menjadi syariat kepada orang mukmin. Sebagai contoh, sebuah athar yang diriwayatkan oleh Muslim dengan sanad yang sampai kepada Salman al-Farisi, beliau berkata;

Golongan musyrikin berkata kepada kami, “Sesungguhnya aku melihat Sahabat kamu (Rasulullah s.a.w.) telah mengajarkan kamu sehingga ke perkara membuang najis.” Salman berkata, “Benar. Sesungguhnya baginda melarang kami beristinjak dengan menggunakan tangan kanan.”
[11]

Selain itu, Ibn Hazm rhm.a. menyatakan bahawa tidak dibolehkan seseorang itu beramal dalam urusan agama melainkan dengan adanya dalil dari al-Quran atau dalil yang sahih dari Rasulullah atau dari ijma’ yang tidak terdapat sebarang perselisihan.
[12] Menurut al-Bahbahari pula, ajaran agama itu hanya datang dari Allah dan bukannya ditentukan oleh pandangan dan pemikiran manusia. Oleh kerana itu, dilarang sama sekali menurut hawa nafsu kerana perbuatan sedemikian akan menyebabkan seseorang itu terkeluar dari agama. Ini kerana Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan urusan agama kepada para sahabat dan umatnya dengan begitu nyata sekali.[13]

Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengingatkan kita:
Hendaklah seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan Allah semata-mata, bahkanh hendaklah iabadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah, dengan kaifiyyat yang diredhai-Nya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan.
...Tidak boleh bagi sesiapa pun dari kalangan Imam-imam kaum muslimin sekalipun tinggi darjat ilmunya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana institusi ilmu, atau golongan dari kaum muslimin sama ada kecil atau besar, untuk mencipta (ibtida’) ibadah yang baru dalam agama Allah atau menokok tambah ibadah yang ada dalam agama atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w. Ini kerana pembuat syariat hanyalah Allah s.a.w. manakala Rasulullah s.a.w. adalah penyampainya sedangkan kita hanyalah pengikutnya. Segala kebaikan itu dalam al-Ittiba’ mengikut apa yang ditentukan Allah dan Rasul-Nya).
[14]

Dr. Abdul Karim Zaidan, menekankan perbezaan antara niat yang ikhlas dan ibadah yang betul:
Amalan salih ialah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah. apa yang sahih itu ialah yang menepati syarak. Maka, membuat bid’ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah...
[15]

Maka, seseorang itu dikatakan berada di atas Sunnah jika sekiranya amalan yang dilakukan menepati dengan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sama ada terdapat dalil dalam al-Quran atau tidak, sebaliknya seseorang itu dikatakan berada di atas bid’ah jika dia melakukan sesuatu amalan yang menyalahi amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
[16] Sehubungan itu, dalam perkara ibadah, ia mestilah dipastikan yang ia benar-benar datang dari ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran serta dijelaskan dan diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para Sahabatnya r.a.

4. Ibadah dihadkan dengan waktu tertentu dan kadar tertentu.

Tidak dibenarkan seseorang itu melampaui hadnya atau menguranginya walau sedikit. Allah berfirman:

إِنَّ الصَّلاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(Surah al-Nisa’: 103)

Ibn Kathir rhm.a. mentafsirkan ( كِتَابًا مَوْقُوتًا) sebagaimana berikut:
Ibn Abbas berkata; Iaitu sesuatu yang diwajibkan. Begitu juga yang diriwayatkan oleh Mujahid, Salim bin Abdullah, Ali bin Husain, Muhammad bin Ali, al-Hasan, Muqatil, al-Suddi dan Atiyyah al-Aufi. Dan berkatalah Abd al-Razzaq, dari Ma’mar, dari Qatadah; Berkatalah Ibn Mas’ud; bagi solat itu ada waktu yang khusus seperti waktu haji. Zaid bin Aslam berkata; Ia adalah berturut-turut, selepas satu waktu berlalu, maka datanglah waktu yang lain.

Sehubungan itu, persoalan waktu sangat signifikan dalam ibadah kerana ia menjadi penentuan ibadah itu diterima atau tidak. Ini kerana ibadah hanya sah apabila tiba waktu yang disyariatkan seperti solat subuh hanya boleh dilaksanakan apabila terbit fajar shadiq. Berikut pula adalah ayat yang menerangkan tempoh bagi menunaikan haji dan berpuasa.

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ

Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum.
(Surah al-Baqarah: 197)


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan atau (mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu…
(Surah al-Baqarah : 185)

Penetapan syariat yang berkaitan waktu ini telah memajukan umat beberapa langkah ke hadapan apabila telah berjaya mencipta jam matahari yang menjadi asas pada sistem jam hari ini. Lebih hebat lagi, Islam telah memberikan ruang yang besar kepada penganutnya untuk mendalami ilmu falak sedangkan Kristian telah membunuh para saintis mereka pada zaman tersebut.


5. Mestilah ibadah itu ditegakkan atas mahabbah kepada Allah, merendah diri kepada-Nya, takut kepada-Nya dan mengharap pada-Nya. Allah berfirman:

أُولَئِكَ الَّذِينَ يَدْعُونَ يَبْتَغُونَ إِلَى رَبِّهِمُ الْوَسِيلَةَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ وَيَرْجُونَ رَحْمَتَهُ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحْذُورًا

Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmat-Nya dan gerun takut akan azab-Nya;
(Surah al-Isra’: 57)

Daripada ayat di atas, Ibn Kathir rhm.a. mentafsirkan: bahawa ibadah itu tidak sempurna kecuali dengan rasa takut dan harap. Maka dengan ketakutan itu seseorang akan menjauhi larangan Allah, dan dengan pengharapan (al-raja’), dia akan bermotivasi untuk melakukan ketaatan.[17] Allah berfirman:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ

... mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada kami.
(Surah al-Anbiya’: 90)

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٣١) قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ (٣٢)

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.
(Surah Ali Imran: 31-32)

Tanda mencintai Allah ialah mengikuti Rasul s.a.w. dengan mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya. Buahnya mencapai cinta Allah dengan mendapat maghfirah dan rahmat-Nya.

6. Ibadah itu menjadi taklif kepada manusia beriman yang telah baligh sehinggalah kematiannya. Setiap ibadah yang disyariatkan perlu dilakukan oleh setiap mereka yang mukallaf iaitu mereka yang beriman dan berserah diri kepada Allah.

Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
(Surah Ali Imran: 102)

Allah juga berfirman dalam ayat berikut yang menjadi hujah bahawa ibadah perlu dibuat sehingga ke detik terakhir kehidupan atau sehingga ajal menjelang. Malangnya, golongan sufi melampau telah mengambil ayat di bawah sebagai hujah mereka secara salah, bagi membolehkan seseorang tidak lagi beribadah kepada Allah kerana telah mencapai makam ’makrifat’.

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ

Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu perkara yang (tetap) yakin.
(Surah al-Hijr: 99)

Ibn Kathir rhm.a. membahaskan persoalan al-Yaqin ini dalam tafsirnya:

”Berdasarkan ayat ini, Ibadah seperti solat adalah sesuatu yang wajib bagi seorang manusia itu selagi mana dia beraqal, maka hendaklah dia bersolat sekadar kemampuan. Sebagaimana yang thabit dari Sahih Bukhari riwayat Imran bin Hushain r.a.; Rasulullah bersabda:

صَلِّ قائمًا، فإن لم تستطع فقاعدًا، فإن لم تستطع فعلى جَنْب

Solatlah dengan berdiri, jika tidak mampu hendaklah duduk, jika tidak mampu hendaklah berbaring.
[18]

Ayat ini juga menunjukkan kesalahan pandangan golongan mulhid yang menyatakan al-yaqin itu adalah ‘makrifat’. Apabila seseorang itu telah sampai ke makam ‘makrifat’, maka gugurlah daripadanya sebarang taklif. Pandangan ini adalah kufur, sesat dan jahil. Sesungguhnya para Rasul dan sahabat mereka, adalah orang yang paling tinggi makrifatnya terhadap Allah. Walaupun demikian, mereka adalah orang yang paling banyak beribadah kepada Allah, dan sentiasa berusaha untuk menambah kebaikan yang mereka lakukan sehinggalah mereka mati. Sesungguhnya, maksud yakin dalam ayat ini adalah kematian.”

Keterangan Ibn Kathir rhm.a. ini telah dikuatkan dengan satu hadith yang membuktikan bahawa al-yaqin iatu bermaksud kematian.

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ عُقَيْلٍ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ قَالَ أَخْبَرَنِي خَارِجَةُ بْنُ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ أَنَّ أُمَّ الْعَلَاءِ امْرَأَةً مِنْ الْأَنْصَارِ بَايَعَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرَتْهُ أَنَّهُ اقْتُسِمَ الْمُهَاجِرُونَ قُرْعَةً فَطَارَ لَنَا عُثْمَانُ بْنُ مَظْعُونٍ فَأَنْزَلْنَاهُ فِي أَبْيَاتِنَا فَوَجِعَ وَجَعَهُ الَّذِي تُوُفِّيَ فِيهِ فَلَمَّا تُوُفِّيَ وَغُسِّلَ وَكُفِّنَ فِي أَثْوَابِهِ دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ رَحْمَةُ اللَّهِ عَلَيْكَ أَبَا السَّائِبِ فَشَهَادَتِي عَلَيْكَ لَقَدْ أَكْرَمَكَ اللَّهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَا يُدْرِيكِ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَكْرَمَهُ فَقُلْتُ بِأَبِي أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَمَنْ يُكْرِمُهُ اللَّهُ فَقَالَ أَمَّا هُوَ فَقَدْ جَاءَهُ الْيَقِينُ وَاللَّهِ إِنِّي لَأَرْجُو لَهُ الْخَيْرَ وَاللَّهِ مَا أَدْرِي وَأَنَا رَسُولُ اللَّهِ مَا يُفْعَلُ بِي قَالَتْ فَوَاللَّهِ لَا أُزَكِّي أَحَدًا بَعْدَهُ أَبَدًا
[19]

Ummu al-`Alaa’; seorang wanita Ansar yang telah memberi bai’ah kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata; pada hari dibahagi-bahagikan orang Muhajirin, apabila diundi, maka kami mendapat Uthman bin Maz’uun. Maka kami membawanya pulang ke rumah kami tetapi kemudian dia meninggal dunia, maka kami memandikannya dan mengafankannya dengan bajunya sendiri. Kemudian, Rasulullah s.a.w. datang, dan saya berkata; “Rahmat Allah kepadamu wahai Aba Sa’ib. Maka aku bersaksi bahawa Allah telah memuliakan kamu.” Maka Nabi bersabda; “Bagaimana kamu ketahui yang Allah telah memuliakannya? Aku berkata, Siapakah yang dimuliakan oleh Allah?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Adapun dia telah datang kepadanya al-yaqin mati). Demi Allah aku berharap semoga dia mendapat kebaikan. Demi Allah aku tidak tahu walaupun aku ini Rasulullah, tentang apa yang akan Allah tentukan untuk aku.” Aku berkata; “Demi Allah aku tidak sekali-kali akan memberi tazkiyyah kepada seseorang selepas daripadanya.”

Apa yang dinyatakan oleh Ibn Kathir ini adalah pandangan para ulama yang disepakati dalam Ahli Sunnah seperti Salafusoleh, Salim bin Abdullah, Ibn Jarir, al-Bukhari, Mujahid, Qatadah, Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam dan lain-lain. Sesungguhnya tertolak pendapat golongan sufi melampau yang menggugurkan taklif syariah pada diri individu atau syeikh mereka.


________________________________
NOTAKAKI
[1] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim, jil. 3, Dar al-Manar, Kaherah, hlm. 455-456.
[2] Abd al-Rahman bin Nasir bin al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir al-Kalam al-Mannan, jil. 1, Muassasah al-Risalah, hlm. 777
[3] al-Zahabi, Siyar al-Alam al-Nubala’, Beirut; al-Maktab al-Islami, jil. 12, hlm. 200
[4] Muslim, Sahih Muslim, Bab Naqdh al-Ahkam al-Bathilah wa al-Rad, jil. 9, hlm. 118.
[5] Ibid.
[6] Ibn Hajar, Fath al-Bari, jil. 5, hlm. 357.
[7] Ibn Taimiyyah, (1403H) , al-Ubudiyyah, al-Maktab al-islami, Beirut. Hlm. 76.
[8] Ibn Rajab al-Hambali, (1991), Jami’ al-Ullum wa al-Hikam, Beirut: Muassasah al-Risalah, hlm. 176-177.
[9] al-Bukhari, Sahih Bukhari, jil. 3, hlm. 7, No. hadith; 595.
[10] al-Baihaqi, Ma’ifah Sunan wa al-Athar, jil. 8,hlm. 227.
[11] al-Nawawi, (1994), Syarh Muslim, jil. 3, Muassasah al-Qurtubah, hlm. 94, No. 262.
[12] Ibn Hazm, (1985), al-Nubdhat al-Kafiyyah fi Ahkam Usul al-Din, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, hlm. 15.
[13] al-Bahbahariy, (1408H), Kitab Syarh al-Sunnah, Dammam; Dar al-Ibn Qayyim, hlm. 22.
[14] al-Qaradhawi, Dr. Yusuf, (1993), al-Ibadah fi al-Islam, Beirut, Muasasah al-Risalah hlm. 165-167.
[15] Abd al-Karim Zaidan, (1993), Ushul al-Da’wah, Beirut, Muasasah al-Risalah, hlm. 41.
[16] al-Shatibi, al-Muwafaqat, jil.4, hlm. 4.
[17] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim, jil. 3, Dar al-Manar, Kaherah, hlm. 48
[18] al-Bukhari, Sahih Bukhari, jil. 4, hlm. 273, No. 1050.
[19] al-Bukhari, Sahih Bukhari, Bab Dakhala ala Mayyit ba’da al-Maut, Jil. 4, hlm. 464, No. 1166.

No comments:

Template by:
Free Blog Templates