Wednesday 30 May 2007

JALURAN MATLAMAT DALAM IBADAH

Pendorong utama ibadah kepada Allah ialah kerana Allah itu berhak disembah. Kerana itulah kita menyembahnya bagi mencapai matlamat penciptaan jin dan manusia. Sehubungan itu, Allah sahajalah yang berhak disembah memandangkan Dia memiliki alam ini dan besarnya kemurahan Allah terhadap makhluknya secara keseluruhan. Walaupun begitu, wajib kita ketahui bahawa Allah tidak memerlukan sesuatu daripada makhluknya. Maka Ibadah tidaklah menambah sesuatu kepada Allah ataupun mengurangkan sesuatu walaupun sebesar zarah kerana Allah secara zat-Nya adalah kaya dan tidak memerlukan kepada sesuatu yang lain. Bahkan makhluk sahajalah yang memerlukan Allah. Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ

Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah dalam segala perkara), sedang Allah Dia-lah sahaja yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
(Surah al-Fatir: 15)

Ibn Kathir rhm.a. menjelaskan bahawa semua manusia adalah faqir terhadap Allah, iaitu semua manusia mengharap dan memerlukan kepada-Nya pada setiap pergerakan dan diam. Dan Allah Maha Kaya dengan Zat-Nya yang tersendiri. ( وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ ) Dia dengan sendirinya Maha Kaya dan tiada sekutu bagi Allah, dan Dia Maha Terpuji dalam apa yang Dia perkatakan, apa yang Dia katakan, apa yang Dia takdirkan dan apa yang Dia syariatkan.
[1]

Allah berfirman dalam satu hadith Qudsi iaitu;

يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئًا يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي فَأَعْطَيْتُ كُلَّ إِنْسَانٍ مَسْأَلَتَهُ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلَّا كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ يَا عِبَادِي إِنَّمَا هِيَ أَعْمَالُكُمْ أُحْصِيهَا لَكُمْ ثُمَّ أُوَفِّيكُمْ إِيَّاهَا فَمَنْ وَجَدَ خَيْرًا فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ غَيْرَ ذَلِكَ فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ
Wahai hamba-Ku, sekiranya permulaan kamu sehinggalah pengakhiran kamu, dari kalangan manusia dan jin, semuanya berada dalam keadaan dalam paling bertaqwa, tidaklah ia menambah sesuatupun terhadap pemerintahan-Ku. Wahai hamba-Ku, sekiranya permulaan kamu sehinggalah pengakhiran kamu, dari kalangan manusia dan jin, semuanya berada dalam keadaan yang paling jahat, tidaklah ia mengurangkan sesuatu pun dari pemerintahan-Ku. Wahai hamba-Ku, sekiranya permulaan kamu sehinggalah pengakhiran kamu, dari kalangan manusia dan jin, berkumpul di satu tempat dan masing-masing meminta kepada-Ku dan Aku berikan kepada setiap kamu permintaannya, tidaklah ia mengurangkan sedikitpun apa yang aku ada. Seumpama jarum terjatuh di laut yang luas. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya ia adalah amalan kamu. Aku akan mengiranya satu persatu, kemudian aku akan membalasnya dengan sempurna. Barangsiapa yang mendapati kebaikan, maka hendaklah dia memuji Allah, dan sesiapa yang mendapat selain daripada itu, janganlah ia menyalah sesiapapun, kecuali dirinya sendiri.
[2]

Kesimpulannya, kebaikan ibadah itu kembali kepada hamba yang melakukan ibadah itu sendiri kerana dialah yang memerlukan Allah dan mengharapkan pertolongan-Nya. Allah berfirman:

مَنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ وَمَنْ ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا

Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga.

(Surah al-Israa’: 15)

Imam al-Syaukani dalam Fath al-Qadir, mentafsirkan ayat di atas:

Allah telah menerangkan bahawa pahala amalan soleh dan hukuman terhadap dosa khusus untuk pelakunya sahaja dan tidak melibatkan orang lain. Sehubungan itu, sesiapa yang mendapat hidayah dengan melakukan apa yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarangnya, maka kebaikan perbuatan tersebut akan kembali kepada dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat dari jalan kebenaran dengan tidak melakukan apa yang disuruh dan tidak meninggalkan apa yang dilarang, sesungguhnya kesesatan tersebut akan menimpa dirinya sendiri, dan tidak pada orang lain. Maka setiap orang akan dihitung dengan apa yang dia lakukan, dia akan diberi pahala dengan ketaatannya dan diberi hukuman dengan maksiat yang dilakukannya.

_________________________

NOTA KAKI
[1] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim, jil. 3, Dar al-Manar, Kaherah, Hlm. 547
[2] Muslim, Sahih Muslim, Bab Tahrim al-Zulm, Jil. 12, hlm. 455, no. 4674

No comments:

Template by:
Free Blog Templates