Wednesday 30 May 2007

HIKMAH-HIKMAH IBADAH


1. Mendidik roh dan memberinya ‘makanan’.

Tubuh manusia diciptakan oleh Allah dengan dua unsur iaitu jasad dan roh. Setiap manusia akan memuaskan jasadnya dengan apa-apa sahaja kebendaan yang diciptakan Allah untuk manusia. Jasad manusia memerlukan makan dan minum dan banyak lagi perkara yang lain untuk terus hidup. Sehubungan itu, roh juga memerlukan makanan untuk ’hidup’. Roh tidak akan puas melainkan jika ia merasakan telah mendekatkan diri kepada Allah, beriman sepenuhnya dan mengikuti perintah-Nya, sehinggalah roh berasa telah ’mendampingi’ Allah. Semuanya ini tidak akan tercapai melainkan dengan ibadah kepada Allah. Allah berfirman:

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ (٩٧) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُنْ مِنَ السَّاجِدِينَ (٩٨

Dan demi sesungguhnya Kami Mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.
(Surah al-Hijr: 97-98)

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (١) وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا (٢) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا (٣

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa Engkau Wahai Muhammad berjaya Menguasai negeri Makkah), Dan Engkau melihat manusia masuk Dalam ugama Allah beramai-ramai, Maka Ucapkanlah tasbih Dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
(Surah al-Nasr: 1-3)

Daripada dua ayat di atas, Allah telah memberi panduan kepada Rasulullah supaya mendekatkan diri kepada Allah untuk mendapatkan ketenangan. Al-Qaradhawi menjelaskan:
Hati manusia sentiasa mempunyai perasaan berhajat kepada Allah. Perasaan ini adalah perasaan yang benar yang tidak dapat diisi kecuali dengan hubungan dengan Allah. Dan kepuasan itu akan diperolehi apabila ibadah itu dilakukan dengan sempurna.

Al-Qaradhawi menukilkan keterangan dari Ibn Taimiyyah rhm.a.:
Zat hati itu sentiasa memerlukan Allah dari dua sudut. Sudut yang pertama; ialah ibadah dan sudut yang kedua; perlindungan dan tawakal. Maka hati tidak akan baik, sejahtera, tidak akan berasa nikmat dan tidak akan gembira, tidak akan berasa kelazatan, tidak akan sihat dan tidak akan tenang kecuali ia beribadah kepada Tuhannya dan mencintai-Nya, serta kembali kepada-Nya. Kalau sekiranya hati itu memperolehi segala nikmat dan kelazatan yang boleh dikecapi oleh makhluk, ia tidak akan tenang, kerana ia mempunyai keinginan secara fitrah kepada Tuhannya. Sebaliknya, sekiranya dia beribadah, maka dia akan memperolehi kegembiraan, kelazatan, kenikmatan dan ketenangan.

Dan ibadah kepada Allah tidak akan tercapai kecuali dengan pertolongan Allah kepadanya, kerana dia tidak mampu untuk mencapai kegembiraan tersebut, kecuali dengan izin Allah. Maka, hati tersebut sentiasalah memerlukan kepada hakikat:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan.
(Surah al-Fatihah: 5)
[1]

Al-Qaradhawi menyambung lagi dengan menaqalkan pendapat Ibn Qayyim al-Jauziyyah rhm.a. tentang kesan ibadah terhadap hati:

Sesungguhnya tiada sesuatu pun yang lebih dicintai oleh hati itu, selain dari penciptanya, Dialah Tuhannya, Penjaganya, Pentadbirnya, Pemberi rezeki kepadanya, menghidupkannya dan mematikannya. Kecintaannya terhadap pencipta merupakan kebahagian jiwa, kehidupan bagi roh, keseronokan dan makanan hati. Sinar bagi akal, penyejuk bagi mata dan pembangunan jiwa.
...Tiadalah kelazatan yang lebih tinggi bagi hati yang sihat, jiwa yang sejahtera dan akal yang baik, melainkan mendapat kecintaan-Nya, kerinduannya untuk berjumpa dengan penciptanya.
[2]


2. Memerdekakan perhambaan seorang manusia daripada selain Allah kepada Allah. Dan ini memberinya kebebasan mutlak di bawah kekuasaan Allah dan akhirnya berasa aman dan tenang dengan Allah.

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْعِزَّةَ فَلِلَّهِ الْعِزَّةُ جَمِيعًا إِلَيْهِ

Sesiapa yang mahukan kemuliaan maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan.
Surah al-Fathir: 10)

Ibn Kathir rhm.a. mengatakan:

Sesiapa yang ingin akan kemuliaan di dunia dan di akhirat, maka hendaklah dia berkekalan dalam mentaati Allah. Ini kerana melaluinya ia akan memperolehi keinginannya itu. Kerana Allah lah yang memiliki dunia dan akhirat, dan bagi-Nya sahajalah segala kemulian. Qatadah pula berkata; ayat ini bermaksud hendaklah berasa megah dengan mentaati Allah.
[3]

3. Menapis orang mukmin dengan ujian ibadah bagi menyediakannya atau melayakkannya bagi kehidupan akhirat.

Allah firman:

يَا قَوْمِ إِنَّمَا هَذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَإِنَّ الآخِرَةَ هِيَ دَارُ الْقَرَارِ (٣٩

Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.
(Surah al-Mukmin: 39)

Dunia adalah tempat ujian, maka mekanisme untuk menguji adalah dengan ibadah. Allah berfirman:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ (٢

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
(Surah al-Mulk: 2)

Ibn Kathir rhm.a. mentafsirkan ayat di atas dengan menaqalkan pendapat Muhammad bin `Ajlan, bahawa ( أَحْسَنُ عَمَلا ) itu adalah sebaik-baik amalan, dan bukanlah amalan yang banyak. Sehubungan itu, mekanisme untuk menilai perhambaan seseorang kepada Allah ialah pada ibadah mereka yang berkualiti dan sempurna, bukannya pada kuantiti amalan mereka.
[4]


4. Ibadah adalah jalan untuk memperbaiki masyarakat.

Jika dilihat dari maksud ibadah secara umum, ia meliputi kesemua amalan baik yang dilakukan oleh individu dan masyarakat. Islam telah mensyariatkan perkara-perkara yang menjadi fardhu kifayah bagi menjaga kemaslahatan masyarakat.

Allah berfirman:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ (٥٥

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan ia akan menguatkan (dan mengembangkan agama mereka Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
( Surah al-Nur: 55)

____________________________________

NOTA KAKI


[1] al-Qaradhawi, al-Ibadah di Islam, Hlm. 98.
[2] Ibid.
[3] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim, jil. 3, Dar al-Manar, Kaherah, hlm. 544
[4] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim, jil. 3, Dar al-Manar, Kaherah, hlm. 382.

No comments:

Template by:
Free Blog Templates