Wednesday 30 May 2007

IBADAH... Jalan Menuju Allah

Sesungguhnya manusia tidak dijadikan dengan sia-sia sahaja atau tanpa tujuan tertentu. Terdapat banyak hikmah dan tujuan Allah menciptakan manusia dan dilantik sebagai khalifah yang akan sentiasa beribadah di dunia ini. Allah memaklumkan perkara ini kepada kita dalam firman-Nya:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لا تُرْجَعُونَ

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? dan kamu menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?"
(Surah al-Mukminun: 115)

Sheikh Abd al-Rahman al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini bahawa Allah bertanya; Adakah kamu menyangka wahai manusia, adakah Kami menciptakan kamu hanyalah secara sia-sia iaitu tanpa sebarang tujuan dan kebatilan? Dan kamu hanya makan, minum dan berjalan, dan asyik menikmati kelazatan dunia, dan kami biarkan kamu tanpa sebarang perintah, dan tidak melarang dan tidak memberi ganjaran dan menghukum? Dan Allah membidasnya dengan menegaskan bahawa; dan kamu menyangka bahawa kamu tidak akan kembali kepada Allah? Jangan sekali-kali ini terlintas di hati kamu.
[1]

Sehubungan itu, Allah menjelaskan hikmah kejadian manusia ini melalui al-Quran yang disiarkan ke seluruh alam dengan firman-Nya:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ

Dan ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(Surah al-Zariyyat: 56)

Inilah matlamat Allah mencipta jin dan manusia, dan dibangkitkan seluruh Rasul yang berdakwah kepada matlamat tersebut iaitu agar mereka menyembah Allah, yang secara langsung dapat mengenal dan menyintai-Nya, dan kembali kepada-Nya dan menghadap kepada-Nya, dan meninggalkan selain daripada-Nya. Kesemuanya itu mengandungi makrifah kepada Allah. Sesungguhnya kesempurnaan ibadah itu terhenti pada makrifah kepada Allah, bahkan semakin bertambah pengetahuan seseorang terhadap Tuhannya, maka semakin sempurnalah ibadahnya. Inilah tujuan Allah menciptakan al-mukallaf dan tidaklah Dia menciptakan makhluk kerana perlukan mereka.
[2]

Selain itu juga, perlu ditegaskan bahawa kesemua utusan Rasul) yang diturunkan oleh Allah telah mengajar manusia agar beribadah kepada Allah sahaja walaupun terdapat perbezaan dari segi syariat antara utusan-utusan tersebut. Allah berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلا أَنَا فَاعْبُدُونِ

Dan Kami tidak mengutus sebelummu (Wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaku."
(Surah al-Anbiya’: 25)

Ibn Kathir rhm.a. menjelaskan bahawa semua kitab terdahulu adalah berlawanan dengan pendapat dan sangkaan kaum musyrikin. Semua kitab tersebut telah diturunkan kepada para Nabi yang diutus, dengan menegaskan لا إله إلا الله tetapi orang musyrikin tidak mengetahui tentang kebenaran, malahan menentangnya.
[3]

Sehubungan itu, al-Quran dan al-Sunnah merupakan sumber ilmu dan amalan yang haq, mencakupi perkara aqidah dan syariah. Berasaskan prinsip ini, Islam dibina di atas dua asas yang amat penting, iaitu:
a. Melaksanakan ibadah hanya kepada Allah semata-mata tanpa mensyirikkan Allah dengan sesuatu.
b. Ibadah dilaksanakan menurut sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah.
[4]

Asas yang pertama menjelaskan berkenaan dasar aqidah yang menjurus kepada pembinaan ilmu ketuhanan dengan mengetahui bahawa hanya Allah sahaja yang berhak ditujukan segala ibadah. Sementara asas yang kedua pula menjelaskan dasar syariat yang menjurus kepada perlaksanaan amalan menurut sebagaimana yang diajarkan oleh baginda Rasulullah.


APAKAH MAKSUD IBADAH?

Ibadah ialah satu nama atau perkara yang menyeluruh yang merangkumi semua perkara yang disukai oleh Allah dan diredhai-Nya dari sebutan-sebutan dan perbuatan-perbuatan yang zahir dan yang batin. Maka, semua perkara yang dilakukan dengan niat yang ikhlas serta menurut syarat-syarat yang betul adalah termasuk di dalam definisi ibadah dan ubudiyyah terhadap Allah. Ibadah pula boleh dibahagikan kepada bahagian-bahagian berikut:

a. Batin

Ibadah-ibadah iktiqadiyyah merupakan asas segala jenis ibadah. Contohnya ialah beriktikdkan bahawa Allah itu Tuhan yang Esa, di tangan-Nya segala manfaat dan mudharat, tiada sekutu bagi-Nya, tiada yang berhak disembah melainkan-Nya, tiada siapa yang berhak memberi syafaat melainkan dengan keizinan-Nya dan lain-lain lagi. Contoh ibadah qalbiyyah atau hati ialah takut kepada Allah, kasih kepada Allah dan Rasul-Nya, sabar dan redha dengan hukum-Nya, bersyukur atas nikmat-Nya, bertawakal kepada-Nya, mengharap rahmat-Nya, khusyu’ serta niat ikhlas kerana-Nya sahaja dalam melaksanakan sesuatu perkara agama.

b. Zahir

Contoh-contoh ibadah qauliyyah atau sebutan ialah mengucap kalimah tauhid, meminta perlindungan dan pertolongan dari Allah, berdoa kepada-Nya, berzikir, memberi nasihat, menyuruh membuat kebaikan dan melarang membuat kemungkaran, membaca al-Quran, mengajar, berceramah agama dan lain-lain. Ibadah badaniyyah pula termasuklah solat, puasa, haji, iktikaf di masjid, menegakkan hukum Allah, ziarah orang sakit, mengiringi mayat dan lain-lain. Akhirnya, contoh-contoh ibadah maliyyah ialah membayar zakat, bersedekah, menyembelih binatang korban, memberi nafkah dan lain-lain lagi.
[5]

_____________________________________

NOTA KAKI


[1] Abd al-Rahman bin Nasir bin al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir al-Kalam al-Mannan, jil. 1, Muassasah al-Risalah, hlm. 560
[2] Ibid., hlm. 813.
[3] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim, jil. 3, Dar al-Manar, Kaherah, hlm. 176.
[4] Ibn Taimiyyah, Majmu’ Fatawa, jil. 1, hlm. 80.
[5] Ismail Omar, Manhaj Akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah, (2006), Access Infotech Sdn. Bhd., hlm. 114-116.

No comments:

Template by:
Free Blog Templates