Tuesday 29 May 2007

MAQASID SYARIAH

1.0 PENGENALAN

Allah menurunkan syariat-Nya untuk umat manusia dengan beberapa tujuan, objektif, matlamat, keperluan dan hikmah. Semuanya ini merangkumi di bawah satu istilah, iaitu maqasid syariah.

2.0 DEFINISI MAQASID AL-SYARIAH

Maqasid syariah, maqasid syar'i dan al-maqasid al-syar'iyyah adalah istilah-istilah yang memberi maksud yang sama.
[1] Para ulama mutaqaddimin tidak membahaskan definisi maqasid syariah secara jelas dan terperinci. Malahan, perbahasan dari segi maksud istilahi ini banyak dipelopori pada ulama pada zaman ini.

Sheikh Muhammad al-Tahir bin 'Asyur:
Maqasid syariah ialah makna dan hikmah yang menjadi perhatian syarak dalam semua keadaan pensyariatan atau dalam sebahagian besar pensyariatannya.
[2]

`Ilal al-Faasi:
Maqasid Syariah ialah malamat syariah dan rahsia yang diletakkan oleh syarak pada setiap hukum.
[3]

Dr. Yusuf al-'Alim:
Maqasid syariah ialah kebaikan yang kembali kepada hamba di dunia atau akhirat samada dengan cara mendatangkan kebaikan atau menjauhkan kemudaratan.
[4]

al-Raisuni:
Maqasid syariah ialah matlamat yang ditentukan oleh syarak untuk dilaksanakan bagi memberi kebaikan hambanya.
[5]

al-Husni:
Matlamat yang memberikan kebaikan yang dikehendaki oleh hukum-hukum syarak dan makna yang dikehendaki oleh perintah Allah.
[6]

Ibn Taimiyyah:
Sesiapa yang mengingkari kandungan syariah iaitu kebaikan dan keindahan kepada hamba di dunia dan akhirat, sesungguhnya dia adalah seorang yang salah dan sesat.
[7]

Secara pastinya, syariah yang dibawa oleh Muhammad r telah merangkumi kesemua kebaikan dunia dan akhirat.
[8]

Dr. Yusuf Ahmad al-Badwi, telah menganalisa daripada pelbagai karya Ibn Taimiyyah dan menyimpulkan maksud maqasid syariah pada pandangan beliau sebagaimana berikut:
a. Akibat, matlamat, kebaikan, objektif, hikmah, kehendak, keperluan dan kecantikan adalah mempunyai maksud yang sama.
b. Allah mempunyai matlamat dan kehendak dalam penciptaan dan perintah-Nya.
c. Matlamat-matlamat tersebut merupakan kehendak Allah dalam syarak-Nya dan disukai oleh Allah kerana ia mencerminkan perhambaan kepada-Nya dan Dia memberikan kebaikan kepada hamba-Nya di dunia dan akhirat.
[9]

Berdasarkan kepada definisi-definisi di atas, dapat difahami bahawa setiap peraturan ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada manusia atau menjauhkan mereka daripada keburukan. Maqasid syariah ialah perkara yang memberikan kebaikan kepada manusia yang menjadi objektif syariah dalam peraturan ajaran Islam. Oleh itu, maslahah dan kebaikan adalah perkataan yang sama maksud objektif syariah.
[10]

Hakikat mengenai objektif syariah ini telah diperakui oleh keseluruhan ulama Islam.
[11] Pertikaian ulama kalam terhadap hakikat objektif syariah menurut al-Raisuni hanya berlaku setelah terjadinya ijma' ulama mengenai persoalan ini.[12]



3.0 KEDUDUKAN MAQASID SYARIAH PADA ZAMAN SALAF AL-SOLEH

Para sahabat merupakan manusia yang paling memahami tentang maqasid syariah, matlamat agama, objektif al-Quran dan al-Sunnah, kerana mereka mendengar al-Quran secara langsung daripada Rasulullah r dan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan petunjuk Rasulullah s.a.w. Apabila mereka menghadapi sesuatu persoalan setelah kematian Rasulullah s.a.w, mereka akan mencari hukumnya di dalam al-Quran. Apabila didapati, mereka terus melaksanakannya. Jika tiada mereka akan mencari dalam sunnah Rasulullah s.a.w, mereka akan bertanya-tanya siapakah yang menghafaz sebarang hadith atau hukum daripada Rasulullah s.a.w berkaitan persoalan ini. Jika didapati, mereka akan berpegang kepada hukum tersebut. Jika tiada, mereka akan berijtihad berpandukan kepada al-Kitab serta al-Sunnah dan pemahaman mereka terhadap kaedah-kaedah umum, rahsia dan matlamat syariat yang mereka fahami daripada keduanya.

Sebagai contoh, para sahabat telah bersepakat untuk membuat salinan rasmi al-Quran bagi menjaga agama, mereka juga bersepakat untuk menghukum qisas sekumpulan pembunuh yang membunuh seseorang yang tidak berdosa. Umar al-Faruq r.a. telah menghukum Nasr bin Hajjaj dengan membuang daerah kerana ketampanan beliau ke Iraq sehingga mempesonakan wanita-wanita di Madinah bagi menjaga keturunan dan maruah. Selain itu, Umar r.a. telah menyekat pemberian zakat terhadap golongan muallaf.
[13] Umar t berkata:

إن الله أعز الإسلام وليس اليوم مؤلفة

“Sesungguhnya Allah telah memuliakan umat Islam, dan pada hari ini, tiada lagi golongan muallaf.”
[14]

Sa`id bin Musaiyyib rhm.a. mengharuskan kawalan harga dilakukan jika ia mendatangkan kebaikan kepada masyarakat Islam. Walaupun terdapat riwayat yang menyatakan Sahabat r.a. telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w: “Ya Rasulullah, harga barang telah naik, maka tetapkanlah harga bagi kami.” Sabda Rasulullah s.a.w, “Allahlah yang menetapkan rezeki, yang menyekat dan meluaskan rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk berjumpa dengan Allah Taala tanpa menzalimi seseorang terhadap darah dan hartanya.”
[15]

Daripada contoh-contoh yang telah diberikan, menunjukkan bahawa maqasid syariah adalah suatu perkara yang sangat penting yang perlu diberi perhatian. Para Salaf al-Soleh memberikan contoh yang terbaik dalam aspek memahami maqasid syariah dan pelaksanaannya.

4.0 KEPENTINGAN ILMU MAQASID SYARIAH

Maqasid syariah itu adalah kiblat kepada semua peraturan syariah dan kiblat kepada mukallaf dalam setiap taklif yang dilaksanakan. Ia jug merupakan penghubung di antara hukum-hukum syariah dan mencerminkan keistimewaan dan kecantikan agama. Ia juga menunjukkan berpegang kepada maqasid adalah perhambaan kepada Allah. Kepentingan terbahagi kepada dua golongan:

4.1 Muslim Secara Am
[16]

1. Menambahkan iman kepada Allah dan mengukuhkan akidah Islam di hatinya dan memberinya kecukupan pada agamanya dan ini akan mendorongnya untuk berpegang teguh dengan peraturan dan menjauhi daripada sebarang larangan, menambah kecintaanya pada syariat, memberinya ketetapan untuk berada di atas syariat dan menunjukkan rasa kemegahan terhadap agamanya.
2. Memberi atau mewujudkan pertahanan dalaman terhadap serangan fikiran dan akidah, dan slogan-slogan yang memperdaya serta tohmahan terhadap Islam.
3. Wajib bagi setiap muslim untuk memastikan niat dan kehendaknya bertepatan dengan kehendak syarak. Ini kerana bertentangan dengan kehendak syarak akan memberi akibat yang buruk sama ada di dunia mahupun di akhirat.
4. Dapat memastikan perhambaan yang dikehendaki oleh Allah terlaksana dengan sempurna.
5. Para pendakwah mesti menerangkan kepada manusia mengenai objektif syariah secara berterusan bagi memberi kepuasan hati terhadap agama Allah. Dan juga menggalakkan manusia untuk beramal dengan syariat-Nya. Ini kerana tabiat manusia suka kepada apa yang bermanfaat. Selain itu pengetahuan seorang daie terhadap maqasid syariah membolehkannya untuk menyusun keutamaan dalam kerja-kerja berdasarkan realiti semasa.

4.2 Bagi Mujtahid

Kebanyakan ulama telah mensyaratkan seseorang mujtahid mengetahui dengan mendalam terhadap maqasid syariah sebelum beliau boleh mengeluarkan sebarang fatwa. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Syafie rhm.a. dalam kenyataannya, yang dinukilkan oleh Imam al-Juwaini rhm.a.:

“Apabila berlaku satu persoalan dan seorang mujtahid itu perlu untuk memberikan hukum, maka perkara pertama yang perlu dibuat ialah melihat kepada nas-nas al-Quran. Jika dia dapati padanya hukum, maka itulah hukum yang sepatutnya. Sekiranya tidak didapati, maka dia perlu melihat kepada hadith-hadith yang mutawatir. Jika tiada, hendaklah dia melihat kepada hadith-hadith ahad... Jika pada tahap ini masih tiada hukum didapati, janganlah dia menggunakan kaedah qiyas lagi, tetapi dia perlu melihat kepada kulliyah syara’ (fokus syarak – maqasid) dan mashalih al-Ammah (kebaikan syarak yang umum).”
[17]

Menurut Imam al-Ghazali rhm.a., maqasid syariah merupakan kiblat bagi para mujtahidin. Barangsiapa yang menuju kepadanya maka dia telah memperolehi kebenaran.
[18]

Imam Izz al-Din bin Abd Salam rhm.a. menyatakan: “Barangsiapa yang mengikuti kehendak syarak dalam memberi kebaikan dan menjauhi keburukan, maka dia akan memperolehi keyakinan dan pengetahuan daripada himpunan-himpunan tersebut bahawa maslahah ini tidak wajar diabaikan dan mafsadah ini tidak wajar didekati walaupun di sana tiada ijmak atau nas atau qiyas khusus.”
[19]

Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rhm.a.: “Sehingga saat ini, aku tidak mengetahui pandangan yang dikemukakan oleh sahabat yang disepakati oleh mereka kecuali bertepatan dengan qiyas. Tetapi, ilmu mengenai qiyas yang betul dan qiyas yang salah merupakan ilmu yang sangat bermanfaat. Tidak mengetahui yang demikian itu kecuali orang yang mahir mengenai rahsia-rahsia syarak dan maqasidnya dan apa yang terkandung dalam syariat Islam ini daripada aspek maslahah.”
[20]

Beliau berkata lagi; “Barangsiapa memahami hikmat syariah, maka dialah sebenar-benarnya seorang faqih.”
[21]

______________________________

Nota Kaki:

[1] al-Raisuni (1995), Nazhariayah al-Maqasid Inda Imam al-Shatibi, hlm. 17.
[2] Ibn Asyur, Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah., hlm. 251.
[3] Ilal al-Faasi, Maqasid Syariah, hlm. 3.
[4] al-Alim, Yusuf Hamid (1997), al-Maqasid al-Ammah Li al-Syariah al-Islamiah, c. 3, al-Khartum: al-Dar al-Sudaniyyah, hlm. 79.
[5] Al-Raisuni (1995), op. cit., hlm. 19.
[6] Al-Husni, Nazariyah al-Maqasid, hlm. 119.
[7] Ibn Taimiyyah, Majmuk Fatawa, jil. 8, hlm. 179.
[8] Ibn Taimiyyah, Majmuk Fatawa, jil. 19, hlm. 134.
[9] Al-Badwi, Yusuf Ahmad Muhammad (2000), Maqasid al-Syari'ah 'Inda Ibn Taimiyyah, Amman: Dar al-Nafais, hlm. 52.
[10] Ibid. hlm. 60.
[11] Al-Syatibi (1999), op. cit., jil. 1 hlm. 121. al-Amidi, op. cit., jil. 2 hlm. 250.
[12] Al-Raisuni (1995), op. cit., hlm. 226.
[13] Muallaf mempunyai dua kategori:
a. Orang Islam
b. Orang Bukan Islam iaitu
(i) Orang kafir yang diharapkan untuk memeluk Islam.
(ii) Orang kafir yang ditakuti keburukan dan kejahatan mereka mengancam keselamatan umat Islam.

(Ibn Qudamah, al-Mughni, jil. 9, hlm. 317)
Contohnya, pada Fath Makkah, Nabi telah memberi keamanan kepada Sufyan bin Ummaiyah selama 4 bulan. Apabila Rasulullah s.a.w. memberinya harta pada peperangan Hunain sebanyak satu wadi yang dipenuhi dengan unta, dia telah memeluk Islam. Sufyan berkata; “Inilah pemberian yang tidak takut kepada kemiskinan.” (Sahih Muslim, jil. 4, hlm. 1806)
Selain itu, satu kaum telah diberi oleh Rasulullah r, mereka telah memuji-muji Islam dan jika tidak diberi mereka akan mengeji Islam. (Irwa’ al-Ghalil, jil. 3, hlm. 369)

[14] Ibn Jarir al-Tabari, Jami’ al-Bayan, jil. 14, hlm. 315.
[15] Riwayat Abu Daud, Jil. 3, No. 731, dan Tirmizi, Jil. 3, hlm. 597.
[16] Al-Badwi, Yusuf Ahmad Muhammad (2000), Maqasid al-Syaricah Inda Ibn Taimiyyah, Amman: Dar al-Nafais, hlm. 103-105.
[17] Al-Juwaini, al-Burhan, jil. 2, hlm. 874.
[18] Al-Suyuti, al-Raddu `ala Man Akhlada ila al-Ardh, hlm. 182.
[19] Izz al-din Abd al–Salam, Qawaid al-Ahkam, jil. 2, hlm. 160.
[20] Ibn Taimiyyah, Majmuk Fatawa, jil. 20, hlm. 583.
[21] Ibn Taimiyyah, Bayan al-Dalil, hlm. 351.

No comments:

Template by:
Free Blog Templates